KOTA SAMARAHAN, 8 April: Seorang lelaki nekad terjun selepas diserbu pihak polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di tingkat tiga sebuah bilik sewa bangunan rumah kedai di Desa Ilmu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Samarahan melakukan serbuan pada jam 10..30 pagi.
“Pihak polis telah mengetuk pintu beberapa kali supaya penghuni bilik tersebut membuka pintu. Setelah mengetuk beberapa kali pasukan serbuan telah mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian luar bangunan tersebut dan mendengar orang awam menjerit mengatakan ada orang terjun.
“Pasukan serbuan bergegas turun ke bahagian bawah bangunan tersebut dan telah menahan neorang suspek lelaki berusia 32 tahun berasal dari Sabah sedang duduk di tepi longkang di atas jalan raya bangunan kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek telah mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua pergelangan kaki, lutut dan luka di tapak tangan kiri dipercayai semasa terjun dari bilik sewa dalam cubaan melarikan diri daripada ditangkap.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek tidak menjumpai sebarang perkara yang menyalahi undang-undang, suspek seterusnya dibawa ke pejebat BSJND untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan awal polis ke atas suspek turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah,” ujarnya.
Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri.
“Borang pemeriksaan kesihatan (Pol 59) telah diisi dan suspek telah dibawa ke Klinik kesihatan Kota Samarahan. Hasil pemeriksaan doktor telah mengesahkan suspek mengalami patah atau retak tulang di kedua-dua belah tumit kaki dan akan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis oleh Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Agustine memandangkan suspek mengalami patah kaki akibat dari cubaan melarikan diri dengan terjun dari bilik sewa,” katanya.
Katanya, suspek mengaku mula terlibat dalam kegiatan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal tahun 2023 dan mendapatkan bekalan dadah dari seorang lelaki yang tidak dikenali melalui panggilan telefon di sekitar kawasan Kampung Tanjung Bundong.-TVS