BINTULU, 8 April: Ketua Kampung Rumah Malam, Sungai Plan, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan segera.
Malam Adam berkata, sebanyak 17 buah rumah musnah dalam kejadian tersebut, membabitkan 82 penduduk yang kini menumpang di kediaman saudara mara berhampiran.
“Kami telah ditimpa kebakaran semalam, pada jam lebih kurang 11 pagi, rumah kami yang hangus, ada 17 buah pintu dan penghuninya terdapat 82 orang. Dan ada seorang warga emas yang telah meninggal dunia kerana tidak sempat melarikan diri,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Walaupun diuji dengan musibah besar, Malam menzahirkan rasa syukur apabila ramai tampil menghulurkan bantuan tidak kira daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pihak swasta.
“NGO ada juga hulur bantuan makanan seperti beras, mee, roti dan kopi. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak NGO dan pihak-pihak yang terlibat menyalurkan bantuan untuk kami di sini,” ujarnya.
Beliau turut menghargai keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi, yang turun padang meninjau keadaan dan menyampaikan sumbangan tunai kepada 19 keluarga terjejas.
“Tadi ada juga YB Dato Majang Renggi, turut menghulurkan bantuan duit tunai kepada yang terjejas. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB Dato Majang yang telah memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam kebakaran ini,” tambahnya. -TVS