SERIAN, 8 April: Unit operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Serian telah melaksanakan advokasi dan penguatkuasaan secara rondaan pemantauan di sepanjang Jalan Serian-Kuching dan Serian-Balai Ringin sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, pada Ops tersebut, Unit Operasi JPJ Cawangan Serian telah mengesan dan mengeluarkan notis ketidakakuran kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.
“Antara kesalahan yang dilakukan seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, muatan bahaya dan beberapa kesalahan teknikal yang lain.
“Walaupun Ops HRA akan tamat pada hari ini, namun JPJ Sarawak tetap komited dan bermatlamat untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya,” kata kenyataan itu.
Katanya, fokus utama kemalangan maut dengan advokasi dan penguatkuasaan berterusan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang, pemandu dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Justeru itu, JPJ Sarawak menyeru agar semua pengguna jalan raya pada setiap masa hendaklah mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang berkuatkuasa.-TVS