KUCHING, 8 April: Syarikat usahasama baharu, Agro Global Sdn Bhd ditubuh sebagai satu kerjasama strategik bagi meningkatkan sektor pertanian Sarawak melalui pengukuhan rantaian bekalan serta meluaskan akses pasaran untuk petani tempatan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) bakal bekerjasama bersama Zedtop Resources Sdn Bhd (ZRSB) dalam penubuhan syarikat usahasama itu dan ia akan berpusat di Collection Processing and Packaging Center (CPPC) Tarat.
Katanya, syarikat usahasama tersebut merupakan projek perintis bagi menerajui usaha untuk mengubah Sarawak menjadi pemain yang berdaya saing dalam pasaran makanan serantau serta global, dengan sasaran eksport khusus termasuk Singapura dan Hong Kong.
“Ini satu projek perintis bagi kerajaan Sarawak dan PPNS diberikan tanggungjawab khas untuk memulakannya untuk produk-produk istimewa kepada sarawak contohnya midin, terung asam, dabai untuk dieksport
“Sebab itulah PPNS telah mencari rakan strategik dan kita telah berkolaborasi dengan Zedtop Resources Sdn Bhd ini dan kita ada mempunyai satu kawasan di Tarat yang khas untuk CPPC ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangan Syarikat Usahasama Antara Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan Zedtop Resources Sdn Bhd di Kuching pada Selasa.
CPPC di Tarat katanya, bakal ditranformasi menjadi satu hub eksport yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pejabat agensi yang berkaitan dan dijadual mula beroperasi pada Julai 2025, dengan aktiviti berskala penuh dijangka dilaksana menjelang pertengahan 2027.
Perjanjian yang termeterai itu ujar beliau akan menjadi detik penting dalam memulakan fasa melengkapkan rantaian bekalan bagi produk-produk pertanian tempatan untuk di proses sebelum dieksport keluar.
“Kita akan mentransformasi CPPC tersebut sebagai hub eksport yang mempunyai segala kemudahan dan akan ada pejabat Kastam, pejabat-pejabatan pertanian untuk proses eksport dan kita jangkakan dalam tempoh tiga hingga lima bulan untuk menyediakan kemudahan tersebut dan pada penghujung tahun ini kita akan bersedia.
“Jadi hari ini merupakan satu detik yang sangat penting yang antaranya melengkapkan rantaian bekalan untuk produk-produk pertanian dari penanaman kemudian kita proses dia dan seterusnya kita akan eksport,” katanya.
Agro Global akan menggunakan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemprosesan (CPPC) di Tarat, yang akan berfungsi mengumpul, menggred, memproses dan membungkus semula hasil pertanian daripada petani Sarawak untuk memenuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa yang ketat dan kawal selia.
Usaha itu bertujuan meningkatkan daya tarikan global dan kebolehpasaran produk pertanian Sarawak dengan menambah nilai kepada tanaman tempatan dan memastikan ketersediaan eksport.
Di samping itu, inisiatif tersebut akan memperkasakan komuniti setempat dengan memupuk keusahawanan melalui program inkubasi, mewujudkan peluang perniagaan untuk pekebun kecil, menyokong pembekal dan penyedia perkhidmatan di pelbagai peringkat rantaian bekalan, serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. -TVS