KUCHING, 8 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan anaknya, Dayang Norjihan Abang Johari melakukan kunjungan Hari Raya Aidilfitri di rumah Mantan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid di Vista Ibrahim, Jalan Bako hari ini.
Ketibaan Abang Johari sekitar jam 12.15 tengah hari disambut mesra oleh Mantan Peguam Besar Sarawak itu bersama isterinya Datin Sri Prof Norbani Mohamed Nazeri serta ahli keluarga yang lain.
Dalam kunjungan raya itu, Abang Johari turut merakamkan gambar raya bersama Dato Sri Talat sekeluarga serta bertukar cenderamata.
Seterusnya, sekitar jam 1.05 tengah hari beliau meneruskan kunjungan ke rumah Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohamed di Jalan Bako Kuching, hari ini.

Kedatangan Abang Johari disambut oleh Datu Hamden dan isteri Datin Raden Asmawati Raden Mahmud serta ahli keluarga yang lain.
Antara hidangan yang disajikan berupa soto, mee jawa, satay, ayam merah, dan nasi tomato.
Terdahulu, Abang Johari menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). – TVS