NIBONG TEBAL, 8 April: Seramai tujuh pelajar yang didapati terlibat dalam kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini akan dibuang daripada pengajian.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan oleh jawatankuasa disiplin pihaknya selepas video insiden berkenaan tular di media sosial semalam.
“Tujuh pelajar didapati terlibat, (iaitu) dua terlibat buli fizikal, (dan) lima subahat.
“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu media melaporkan, satu insiden buli didakwa berlaku di sebuah MRSM di negeri ini selepas video berdurasi seminit 31 saat memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Siasatan polis mendapati, kejadian berkenaan berlaku pertengahan tahun lalu di sebuah MRSM di sini membabitkan tujuh pelajar lelaki berusia 15 tahun. – TVS