SIBURAN, 7 April: Tindakan pantas seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun berjaya menyelamatkan kediamannya di Kampung Siburan daripada terbakar awal pagi tadi.
Komander Operasi, Abu Talip berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.41 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan siling belakang rumah dan longgokan barang lusuh.
“Api berjaya dipadamkan oleh pemilik rumah menggunakan air paip sebelum pihak bomba sampai.
“Pihak bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari jentera bomba untuk memadamkan sisa-sisa api sehingga padam sepenuhnya dan memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran dianggarkan lima peratus dan selepas memastikan tiada lagi punca api, pihak bomba bertolak balik ke balai.-TVS