MIRI, 7 Apr: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel tunda di kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat laut Lutong, Miri pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Op Permai 01/2019, Op Naga Timur serta Op Tiris 3.0 di kawasan perairan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap vesel tunda tersebut mendapati berlaku pelanggaran di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, apabila pihak pengurusan gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan seperti yang diwajibkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Vesel tersebut bersama tiga kru lelaki warga tempatan yang berusia antara 23 hingga 45 tahun telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan kawalan serta rondaan bagi memastikan undang-undang di perairan negara sentiasa dipatuhi.
Maritim Malaysia juga menyeru orang awam agar segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016. – TVS