LUNDU, 7 April: Kemudahan infrastruktur di Kampung Sebako 1 bakal dipertingkatkan menerusi projek naik taraf jalan pertanian melibatkan peruntukan RM2 juta.
Memetik laporan Suara Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek tersebut melibatkan dua laluan yang dikenal pasti iaitu jalan ke kawasan perkuburan lama serta jalan ke Sibatok yang sering digunakan penduduk untuk ke kawasan pertanian mereka.
Malah menurutnya, ia merangkumi beberapa skop utama termasuk pembinaan sebuah jambatan, kerja menaik taraf jalan pertanian ke lokasi perkuburan lama dan sambungan jalan ke kawasan Sibatok.
“Langkah ini penting bagi memudahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) menjalankan kerja penyukatan jarak sebenar sebelum pelaksanaan projek dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek tersebut bagi menentukan lokasi sebenar jalan yang akan dinaik taraf berdasarkan keperluan penduduk setempat, baru-baru ini
Menurut Billy, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebako 1 diminta memulakan kerja rintis bagi laluan tersebut dalam masa terdekat.
Projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya dalam memudahkan akses ke kawasan pertanian serta menyokong peningkatan kemudahan asas di kampung berkenaan.-TVS