PETALING JAYA, 7 April: Perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan membuat perundingan tentang fatwa oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengenai isu pencerobohan Israel ke atas Gaza berdasarkanperspektif Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kementerian masih menunggu perkembangan terkini oleh Muzakarah MKI.
“Umumnya kita positif dan memberikan sokongan terhadap apa sahaja yang boleh membantu saudara-saudara di Palestin yang semakin tenat dan teruk dizalimi dan ditindas,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menyerahkan bantuan makanan kepada mangsa letupan paip gas di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar telah meminta agensi-agensi di bawah kementeriannya untuk mengadakan libat urus bersama para agamawan dan pertubuhan-pertubuhan Islam.
Katanya, perbincangan itu melibatkan perundingan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut, demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya di Gaza.
Sementara itu, mengenai penyerahan sumbangan kepada mangsa letupan paip gas, beliau berkata bantuan itu adalah satu indikator yang baik yang membuktikan nilai kerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kerjasama ini melibatkan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi dan badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita dapat bekerja sebaiknya dan sumbangan yang diberikan adalah sangat menyeluruh,” katanya. – TVS