MIRI, 7 Apr: Sebuah laluan berbasikal bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia bakal menjadi tarikan baharu di Miri sekali gus mengukuhkan lagi usaha Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan mengeratkan perpaduan komuniti.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, laluan berbasikal tersebut yang dibina oleh pakar luar negara kini sedang dalam fasa akhir pembinaan di bawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sekitar RM7,000.
“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan taman rekreasi rakyat yang lebih menyeluruh di bandar raya ini. Ini akan jadi taman untuk rakyat Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media sempena Program Lukisan Lantai Mural 3D di Taman Bulatan Skate Park, di Miri, hari ini.
Selain laluan berbasikal, beberapa kemudahan baharu lain turut diumumkan termasuk pembinaan bumbung gelanggang bola keranjang dengan peruntukan sebanyak RM420,000 yang dijangka dimulakan selepas siapnya Taman Botani.
Turut disenaraikan ialah sebuah bangunan berbentuk heksagon serta gelanggang pickleball yang telah pun siap dibina oleh syarikat tempatan.
“Sistem saliran juga telah dilakar dan sedang dalam kemajuan. Bila semua ini lengkap, ia akan jadi sempurna,” ujar Sebastian. – TVS