KUALA LUMPUR, 7 April: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan khidmat masyarakat yang bertujuan memperketat penguatkuasaan terhadap pelanggaran peraturan kebersihan awam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata tindakan tegas itu akan dikenakan terhadap individu yang didapati membuang sampah merata-rata.
Kata beliau antara bentuk hukuman termasuk menjalani kerja pembersihan jalan selama 12 jam dengan memakai pakaian khas yang disediakan oleh KPKT.
“Tolong jangan buang sampah merata-rata (kerana) anda akan ‘dijemput’ untuk menyapu kawasan jalan selama 12 jam dengan pakaian khas.
“Jangan anggap perkara ini remeh. Saya serius terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan kebersihan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14, di sini, hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan undang-undang khidmat masyarakat itu mengambil contoh pendekatan negara maju seperti Singapura, Korea, Sweden, Finland dan Norway bagi menjaga kebersihan.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa individu yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan kompaun antara RM2,000 hingga RM10,000.
“Mahkamah juga boleh menggunakan bidang kuasa untuk memberikan hukuman penjara kepada individu yang berbuat demikian.
“Langkah tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memupuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab serta memastikan kawasan perumahan kekal bersih dan selesa,” katanya. -TVS.