KOTA SAMARAHAN, 7 April: Seorang buruh maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan kereta di Kilometer 8 Jalan Kota Samarahan- Asajaya di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, dalam kejadian jam 11.08 malam itu, mangsa yang maut dikenali Mohammad Yusri Jumadi, 21, beralamat di Kampung Baru, Kota Samarahan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Legenda yang ditunggang mangsa dari arah Asajaya menghala ke Kampung Baru.
“Ketika di lokasi kejadian dan sedang bergerak lurus, tiba-tiba motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Penunggang motosikal jatuh ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh kereta yang sedang bergerak lurus di arah bertentangan,” katanya dałam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat daripada kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di Pusat Jantung Kota Samarahan jam 12.25 tengah malam ketika menerima rawatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu kereta Vios yang merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.-TVS