MIRI, 7 Apr: Budaya ziarah-menziarahi ketika musim perayaan terus menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, sekali gus memaparkan keunikan perpaduan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, amalan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah merupakan warisan yang perlu diteruskan oleh generasi akan datang.
“Satu keistimewaan kita di Sarawak ini adalah perayaan diraikan oleh semua kaum. Contohnya, kalau hari ini Hari Raya, kita bersama-sama, kita juga ada tuai-tuai rumah, kita ada penghulu daripada kaum Cina.
“Begitu juga ketika musim Gawai dan perayaan Tahun Baharu Cina, kita akan melihat rombongan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang akan bersama-sama berziarah,” katanya ketika menghadiri program ziarah raya di kediaman seorang pemimpin tempatan di Bekenu, hari ini.
Tambahnya, kebiasaan itu perlu diterapkan kepada generasi muda agar semangat persefahaman dan toleransi terus subur dalam kalangan rakyat.
Sementara itu, Pemanca Subis, Ali Mudin menyokong pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa amalan tersebut telah diwarisi sejak turun-temurun.
“Ini adalah budaya yang kita warisi turun-temurun. Alhamdulillah, ia disambut oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama secara damai, permai dan santai.
“Kita mengharapkan budaya begini akan terus memakmurkan negeri kita dan menjadi ikutan anak cucu kita pada masa depan,” ujarnya.