KUCHING, 6 April: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyeru waris keluarga tampil menyalurkan maklumat sekiranya terdapat individu layak tetapi masih tercicir daripada menerima bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS)
Menurutnya, terdapat kemungkinan wujud kes tertentu yang mana penerima bantuan tercicir atas pelbagai faktor termasuk kes pesakit terlantar yang tidak dapat tampil memohon bantuan berkenaan.
“Kita perlu lihat siapa mereka ini sebab mungkin ada kes yang tercicir. Jadi kalau ada nama mereka atau sesiapa yang belum menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) boleh maklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kita dapat bantu mereka.
“Antara kes yang dikenal pasti adalah individu yang terlantar sakit dan tidak mempunyai keupayaan untuk tampil membuat permohonan. Jadi, paling baik sekiranya waris dapat membantu kerana mereka lebih tahu dan mempunyai maklumat tentang mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilftirinya di Kuching, hari ini.
Sehubungan itu, Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan tiada golongan sasar terpinggir daripada menerima bantuan terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kes-kes seperti ini sememangnya boleh berlaku dan apabila kami dimaklumkan tentang perkara tersebut, insya-Allah bantuan akan disalurkan. Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang sentiasa berusaha membantu golongan memerlukan,” ujarnya.-TVS