KUCHING, 6 April: Kerajaan Sarawak komited melobi sukan tinju untuk dipertandingkan di Sarawak pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 nanti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan jawatankuasa induk dan Persekutuan Tinju Malaysia untuk mempertimbang serta menganugerahkan hak penganjuran sukan tinju di Sarawak.
“Kalau boleh, saya memang mahu suka tinju diadakan di Sarawak untuk Sukan SEA nanti. Kita dapat melihat peningkatan sukan tinju terutama sekali di Sarawak dan minat rakyat Sarawak terhadap tinju, kalau kita lihat dalam Sukan SUKMA lepas, pertama kali kita mendapat banyak pingat emas dalam tinju. Namun, keputusan muktamad akan ditentukan oleh badan penaung sukan tinju di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak di Kuching pada Ahad.
Ketika diminta mengulas pembinaan velodrom di wilayah ini, Karim menjelaskan, pihaknya masih merencana dan membincangkan pelbagai isu untuk pembinaan velodrom itu terutama dari segi kapasiti penonton serta kegunaan arena berbasikal itu.
“Velodrom ini masih dalam perancangan dan saya rasa untuk Sukan SEA, kemungkinan besar sukan berbasikal ini tidak dapat diadakan sini dan ia perlu diadakan di Semenanjung Malaysia.
“Namun, perancangan untuk velodrom yang pertama diadakan atau dibangunkan di Pulau Borneo ini, insya-Allah akan dibangunkan di Kuching,” ujarnya.
Pada majlis sama, Abdul Karim turut menyantuni lebih 3,000 tetamu yang bertandang ke majlis ramah tamah Hari Raya Aidilfitri tersebut.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Menteri MTCP dan MYSED Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Dr. Ripin Lamat, selain kunjungan tetamu kehormat, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.-TVS