DAEGU (Korea Selatan), 6 Apr: Sebuah helikopter terhempas ketika menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan pada Ahad, mengakibatkan juruterbangnya maut, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai bomba.
Menurut jabatan bomba, helikopter itu terhempas di sebuah gunung di daerah barat laut Daegu, kira-kira 230 kilometer tenggara Seoul pada 3.41 petang.
Helikopter berkenaan dikerahkan bagi membantu operasi memadam kebakaran di kawasan Seobyeon-dong, namun pesawat itu terhempas kira-kira 100 meter dari lokasi kebakaran, menurut laporan jabatan bomba.
Nahas melibatkan helikopter model Bell 206L berusia 44 tahun itu disahkan oleh Pejabat Daegu Dong-gu.
Pihak berkuasa dan agensi berkaitan merancang untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas, termasuk menyoal saksi sebaik sahaja kawasan kejadian berjaya dikawal dan operasi menyelamat selesai.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas sebuah lagi helikopter yang memadam kebakaran besar di Daerah Uiseong, di wilayah tenggara terhempas dan mengorbankan seorang juruterbang. -TVS