KUCHING, 6 April: Sarawak kini mencatatkan peningkatan membimbangkan dalam kes diabetes dengan anggaran satu daripada lima penduduk berisiko menghidap penyakit tersebut jika tiada tindakan pencegahan diambil.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, lebih 11,000 kes diabetes direkodkan di wilayah ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat.
“Kalau kita tengok data, sekitar satu daripada lima rakyat Sarawak menghidap diabetes. Itu bukan angka kecil.
“Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan obesiti menjadi punca utama kematian di Sarawak dan merupakan satu perubahan besar berbanding zaman dahulu.
“Ini bukan perkara yang patut kita terima sebagai norma. Ini adalah ‘pembunuh senyap’ rakyat moden Sarawak,” katanya.
Dr Sim berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah komplikasi akibat diabetes seperti kegagalan buah pinggang, amputasi kaki, strok dan serangan jantung.
Menurutnya, masyarakat perlu berhenti berfikir kemajuan Sarawak hanya diukur dengan pembangunan fizikal tetapi juga dengan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Dr Sim turut menyeru masyarakat menyambut kempen kesedaran diabetes sebagai peluang untuk menilai semula gaya hidup masing-masing.
“Kita buat kempen ini sebab kita sayang rakyat. Kita tak nak mereka hidup menderita. Kita boleh elakkan semua ini, tapi ia mesti bermula dengan kesedaran dan tindakan,” ujarnya.-TVS