BINTULU, 6 Apr: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk membina bangunan Kompleks Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) yang baharu di Miri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bangunan yang turut menerima derma daripada beberapa syarikat korporat itu akan dibina berdekatan lapangan terbang Miri.
“Sekarang ini Majlis Islam Sarawak sedang membangunkan kompleks yang baharu di Miri. Keadaan tanah tidak sesuai, jadi kita bangunlah kompleks baharu tidak jauh dari Lapangan Terbang Miri dan ia memerlukan belanja yang agak besar.
“Sudah tentu kita memberikan bantuan kompleksnya secara menyeluruh lebih kurang lebih pada RM30 juta dengan kompleksnya di Miri insya-Allah rezeki Sarawak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penamaan Nama Kompleks Kebajikan Daud Abdul Rahman, Bintulu dan Sambutan Ramah Tamah Aidilfitri PERYATIM 2025 di Bintulu pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat korporat yang turut menderma kepada PERYATIM.
“Alhamdulillah derma sentiasa datang dan saya mengucapkan terima kasih kepada dermawan dan ia terus akan kata orang kita melabur untuk akhirat dan rezeki pun bertambah,” ujarnya.
Dalam pada itu, kompleks kebajikan Daud Abdul Rahman Bintulu turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Premier Sarawak, Lembaga Pelabuhan Bintulu dan orang perseorangan. -TVS