KOTA SAMARAHAN, 6 April: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Mohd Musa di Kampung Sindang di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, dalam kejadian itu mangsa yang maut dikenali Mohamad Along Abdullah berusia 18 tahun, beralamat di Kampung Baru, Kota Samarahan.
Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kes itu pada jam 9.35 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal Honda Dash yang ditunggang mangsa dari arah Kampung Baru menghala ke Desa Ilmu.
“Ketika sedang bergerak lurus, tiba-tiba motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan penunggang jatuh ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah dilanggar oleh kereta Proton Pesona dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun yang sedang bergerak lurus di arah bertentangan.
“Akibat daripada kejadian tersebut mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tegasnya.-TVS