KUCHING, 6 April:Â Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian bangunan runtuh di Jalan Padungan yang berlaku pagi tadi.
Memetik laporan Suara Sarawak, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelak penyebaran khabar angin palsu.
“Kita telah memanggil pakar-pakar profesional bagi menjalankan siasatan terperinci.
“Saya berharap orang ramai tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berkaitan kejadian ini. Keselamatan dan kebajikan orang awam sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
“JKR Sarawak juga telah dihubungi dan mereka menghantar jurutera daerah ke lokasi kejadian bagi menilai tahap keselamatan struktur bangunan serta memberikan nasihat berkenaan langkah-langkah seterusnya,” ujarnya.
Wee berkata, panduan daripada JKR Sarawak amat penting bagi merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang sekali gus mengelak kejadian sama berulang.-TVS