TANJUNG MANIS, 6 April : Projek penanaman padi varieti padi berkualiti tinggi di Sungai Bapa, Kampung Rajang kini mula menampakkan hasil sekali gus menjadi contoh terbaik dalam memanfaatkan tanah terbiar untuk tujuan pertanian yang produktif.
Projek yang dilaksanakan menerusi kerjasama antara Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR), Kumpulan Ta Ann melalui anak syarikatnya, Padi Head Sdn Bhd serta penduduk Kampung Rajang ini turut membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan tambahan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek itu bukan sahaja menghidupkan kembali tanah terbiar malah membantu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui pertanian moden dan bersepadu.
“Kita amat berbangga melihat hasil awal projek ini. Ia menunjukkan bahawa dengan perancangan rapi dan kerjasama strategik dan tanah yang dahulunya tidak diusahakan kini mampu menjana hasil ekonomi.
“Hari ini mereka sedang menuai variety MR, selepas penanaman selama 105 hari. Ini merupakan sesi tuaian ketiga.
“Tuaian pertama yang disaksikan sendiri oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika beliau melakukan lawatan ke kawasan ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu menjelaskan sokongan teknologi dan kepakaran syarikat dalam bidang penanaman padi telah membantu mempercepatkan proses penyesuaian tanah dan tanaman serta memastikan kualiti hasil yang tinggi.
Malah beliau menyambut baik inisiatif tersebut kerana selain memberikan sumber pendapatan, penduduk yang terlibat turut mendapat pendedahan kepada teknik pertanian moden.
“Ini merupakan sebahagian daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) membabitkan penanaman padi.
“Usaha ini sedang giat dilaksanakan di kawasan ini sebagai langkah untuk menjadikannya sebagai salah satu lagi pengeluar komoditi penting itu.
“Secara keseluruhan Sungai Bapa mempunyai kawasan seluas 800 ekar manakala, 500 ekar adalah milik penduduk dan 300 ekar lagi tanah milik kerajaan untuk dimasukkan dalam projek berkenaan,” ujarnya.
Perkembangan positif projek itu membuktikan potensi besar Kawasan Rajang sebagai pengeluar beras terbesar di Sarawak.
Selain mampu dikembangkan, pelaksanaan projek itu juga salah satu strategi jangka panjang bagi menjamin keterjaminan makanan Sarawak sekaligus mengurangkan kebergantungan bekalan beras import.-TVS