KUCHING, 6 April: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak akan meneruskan komitmen serta sokongan penuh untuk memastikan Sarawak Delta Geopark (SDGp) mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia (UNESCO) menjelang tahun 2026.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan kewujudan Sarawak Delta Geopark di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, kerjasama itu untuk untuk merealisasikan penyenaraian kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Kompleks Gua Taman Negara Niah dan Mulu menjadi kenyataan.
“Saya juga menunggu masa agar Kuching Geopark dapat diberi pengiktirafan oleh UNESCO sebagai satu tapak warisan dunia seperti Mulu dan Niah. Meskipun usaha untuk memperoleh pengiktirafan ini bukan secara langsung di bawah kementerian saya tetapi kementerian saya akan terkait kerana proses permohonannya perlu melalui Jabatan Warisan yang secara tidak langsung ditadbir selia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis RamahvTamah Aidilfitri 2025 anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak di Kuching pada Ahad.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak menghantar dokumen permohonan kepada UNESCO di Paris pada 7 November 2024 yang mana fasa penilaian untuk mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia (UNESCO) bagi Sarawak Delta Geopark (SDGp) akan dilakukan bermula tahun ini.-TVS