Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat dalam kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PP) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights hari ini. Foto Bernama

Kebakaran Putra Heights: Sumbangan RM2,000 KPT beri kelegaan kepada penuntut IPT

ByBernama

SHAH ALAM, 6 April:  Sumbangan RM2,000 yang disalurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) memberi kelegaan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas.

Bantuan itu disifatkan sangat bermakna terutama ramai dalam kalangan mereka yang kehilangan bukan sahaja harta benda tetapi juga peranti elektronik seperti tablet dan komputer riba, yang penting untuk digunakan bagi tujuan pengajian akan bermula esok.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nur Ain Aisya Mohmad Johar, 23, berkata tablet (iPad) dan komputer riba miliknya musnah dalam kejadian pada 1 April lepas.

“Insya-Allah duit itu sedikit sebanyak akan dimanfaatkan untuk menggantikan semula peranti elektronik saya… UiTM pun ada memberikan sedikit sumbangan… Ini memberikan sedikit kelegaan kepada kami selepas diuji dengan musibah,” kata pelajar ijazah pengurusan sumber manusia yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baharu itu.

Sementara itu, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Adlyn Safiah Abu Samah, 20, bersama kakak dan abangnya yang masing-masing menuntut di UIAM dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut meluahkan rasa penghargaan di atas sumbangan itu.

Beliau berkata mereka amat komited untuk mengikuti pengajian seperti biasa, namun mungkin terpaksa menunda hasrat itu ekoran peranti elektronik seperti komputer riba dan buku-buku pengajian masih berada di kediaman yang kini tidak boleh dimasuki.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membaiki peranti elektronik kami seperti komputer riba jika rosak dan bakinya kami gunakan untuk meringankan beban mak dan ayah kami. Akibat insiden ini, kami sekeluarga mengalami kerugian yang banyak terutama selepas kereta keluarga dan motor abang saya turut rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 70 pelajar IPT termasuk universiti awam dan swasta untuk diberikan sumbangan berkenaan.

“Sumbangan segera ini kita akan berikan secara wang tunai jika ada antara mereka yang hilang atau musnah kad bank dalam kejadian itu, dan selebihnya kita akan lakukan menerusi pindahan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata perbincangan bersama pihak Kementerian Digital juga sedang dijalankan bagi pemberian sumbangan membabitkan komputer riba kepada penuntut yang terkesan akibat kejadian itu. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan