Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto Media sosial

Kebakaran Putra Heights: Operasi tumpu kerja sedut air di kawah kebakaran pagi ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 April: Mengeluarkan air yang bertakung di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya susulan hujan lebat semalam menjadi fokus utama operasi yang memasuki hari keenam hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata ini bagi membolehkan kerja-kerja penilaian keselamatan disambung semula.

“Kita masih lagi tumpukan kawah kebakaran untuk pagi ini sebab masih banyak air perlu disedut keluar sebelum boleh sambung kerja-kerja penilaian macam biasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, satu sidang media akan diadakan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pada  4 petang ini di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, Subang Jaya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisyam Mohammad  berkata kerja-kerja penilaian akhir keselamatan di kawasan kawah kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights dijangka selesai hari ini.

Nor Hisyam berkata ia kemudian akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam masa terdekat.

Penilaian akhir tersebut hanya meliputi kawasan kawah kebakaran sahaja dan tidak termasuk kawasan infrastruktur terjejas.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami.

Setakat semalam, sebanyak 509 keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan sebahagian mangsa tidak tinggal di situ dan jumlah itu dijangka bertambah memandangkan terdapat segelintir berada di luar kawasan semasa kejadian berlaku pada hari raya kedua itu.

Mereka yang masih belum mendaftar di PPS juga dinasihatkan berbuat demikian bagi mengelakkan   tercicir daripada menerima bantuan yang diumumkan, dan pendaftarannya akan ditutup tengah hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan