SUBANG, 6 Apr: Penilaian lebih terperinci di kawasan insiden letupan paip gas di Putra Heights mendapati sebanyak 219 daripada 439 rumah terjejas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, baki 220 unit lagi disahkan selamat berdasarkan penilaian kali kedua oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang merangkumi radius kawasan seluas 325 meter (m) berbanding 280m sebelum ini.
Kata beliau, 40 buah keluarga telah kembali ke kediaman mereka setakat ini.
“Pemilik rumah yang tidak terjejas dan rumah rosak bawah 20 peratus telah dibenarkan untuk kembali ke kediaman masing-masing hari ini.
“Ini merangkumi 320 rumah dan pemilik rumah dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dengan senarai rumah akan diedarkan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini, hari ini.
Pada 1 April lepas, kebakaran besar tercetus susulan letupan saluran paip gas bawah tanah yang terletak berdekatan laluan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Putra Heights.
JBPM Selangor mengesahkan kebakaran itu membabitkan saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Sementara itu Hussein berkata, setakat ini 154 keluarga telah dibenarkan untuk kembali ke kediaman masing-masing termasuk 24 keluarga di Kampung Kuala Sungai Baru.
Beliau turut memaklumkan polis telah menerima sebanyak 642 laporan polis dan merekodkan 118 keterangan saksi.
“Ini termasuk satu laporan yang menyatakan terdapat pihak yang bermain mercun berdekatan dengan kawasan kejadian pada malam 31 Mac, beberapa jam sebelum letupan terjadi.
“Walaupun demikian kita belum lagi dapat memastikan sama ada itu adalah punca letupan, kita masih menunggu siasatan penuh, saya hanya memaklumkan laporan-laporan yang pihak polis terima,” katanya. – TVS.