BELAWAI, 6 April: Penduduk luar bandar yang menerima lot tanah di bawah skim pembangunan kerajaan disaran tidak menjual tanah tersebut demi keuntungan jangka pendek.
Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tanah tersebut perlu dimanfaatkan untuk masa depan termasuk peluang memiliki rumah sendiri dan menjana pendapatan.
Malah menurutnya, diberikan melalui Skim Pembesaran Kampung (SPK), ia merupakan hasil pelaburan besar Kerajaan Sarawak demi kesejahteraan rakyat.
“Tanah ini bukan untuk dijual. Ia adalah peluang jangka panjang untuk rakyat terutamanya golongan muda untuk memiliki rumah sendiri dan terlibat dalam pembangunan kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kuala Rajang di Kampung Jerijih, Jumaat lalu.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pelaksanaan projek SPK di Jerijih yang melibatkan 231 lot tanah dengan peruntukan RM24 juta.
“Kerja-kerja fasa awal kini sedang giat dijalankan melibatkan penambakan tanah serta penyediaan infrastruktur asas seperti jalan dan sistem perparitan.
“Selepas infrastruktur asas disiapkan, perancangan perumahan akan dilaksanakan bagi membantu rakyat yang layak memiliki kediaman sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru belia di kawasan luar bandar seperti Jerijih dan Belawai agar bersedia merebut peluang pekerjaan yang bakal wujud hasil pelbagai projek pembangunan dirancang.
Antaranya termasuk pembangunan Tebingan Belawai, pembinaan hotel, lapangan golf serta perluasan Lapangan Terbang Tanjung Manis yang dijangka merancakkan sektor pelancongan dan menarik pelaburan baharu.
“Ekonomi di kawasan ini selama ini hanya bergantung kepada hasil laut dan pertanian.
“Tetapi melalui pembangunan terancang, kita mahu anak tempatan menjadi peneraju perubahan dan bukan sekadar pemerhati,” jelasnya dalam majlis berasingan di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, Sabtu lalu.
Beliau turut memaklumkan, RM1.2 juta diluluskan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kuala Rajang untuk membina dewan baharu bagi kegunaan komuniti Kampung Jerijih menggantikan dewan lama yang uzur.
Beliau menekankan pentingnya sokongan rakyat terhadap usaha Kerajaan Sarawak agar segala projek pembangunan dapat dilaksana dengan lancar dan memberi impak jangka panjang kepada komuniti luar bandar.-TVS