BINTULU, 6 Apr: Bintulu kini maju selangkah lagi melalui perancangan pembangunan lebih komprehensif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bahagian itu kini sedang berada dalam gelombang kedua pembangunan yang direncana Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, ia termasuk pembangunan Jambatan Jepak di Bintulu.
“Kita bersyukur kerana kita dapat membangunkan apa saya sebut sebagai gelombang kedua Bintulu. Dengan pejabat residen yang baharu dan pembangunan perumahan macam gated community kalau nya siap.
“Ini adalah kawasan perumahan yang canggih yang ada di Bintulu. Maka ini adalah simbol jambatan ini dalam proses pembangunan gelombang kedua yang berlaku di Bintulu,” katanya.
Tambahnya Jambatan Jepak turut menjadi simbol kepada kemajuan teknologi kejuruteraan yang dimiliki oleh rakyat Sarawak.
Sehubungan itu, beliau juga yakin Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan terus mempertingkatkan perkhidmatan mereka agar seiring dengan matlamat menjadikan Bintulu bukan sekadar bandar moden tetapi juga bandar pintar. – TVS