MIRI, 6 April: Pengumuman pembangunan Resort Township di kawasan Beraya membuka potensi kepada pembangunan sukan laut dan kemudahan latihan perahu layar di kawasan pesisir.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata, selain membawa limpahan ekonomi ke kawasan luar bandar berhampiran Miri termasuk Subis, perancangan tersebut selari dengan usaha memperkukuh pembangunan sukan di kawasan luar bandar.
“Sebenarnya kita juga sebelum ini memohon untuk mewujudkan satu tempat latihan untuk sukan laut termasuk perahu layar sebab untuk SUKMA tahun lepas kita dapat merangkul emas yang tidak pernah kita dapat sebelum ini. Jadi ini juga bermakna Yang Amat Berhormat mendengar suara kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka di kediamannya di Taman Bumiko di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan yang dicadangkan di kawasan Beraya seperti pusat pentadbiran, kawasan perumahan, hotel, marina dan padang golf akan melengkapkan status Miri sebagai resort city.
“Kita tahu Miri adalah resort city. Dan apa yang berlaku di luar bandar raya Miri akan melengkapkan Miri,” ujarnya.
Menurutnya, beliau yakin potensi pembangunan di luar bandar Miri akan melengkapi peranan Miri sebagai bandar peranginan sekali gus memberi peluang kepada belia dan pelajar di kawasan pesisir terlibat secara aktif dalam sukan air.
“Sebab kita kan tepi laut dan kita ada sekolah rendah, sekolah menengah, jadi kita nak promosikan kepada anak-anak kita untuk mengembangkan lagi sukan laut tersebut,” jelasnya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menyambut baik komitmen Kerajaan Sarawak yang mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan pusat latihan sukan laut seperti perahu layar yang sebelum ini diusulkan susulan pencapaian emas Sarawak dalam sukan tersebut pada SUKMA lalu.
Dengan kedudukannya yang strategik berhampiran laut serta kemudahan sekolah, Rosey berkata, daerah luar bandar seperti Subis mampu dimanfaatkan sebagai hab pembangunan sukan laut yang akan memberi impak kepada pembangunan modal insan dan ekonomi setempat. -TVS