TATAU, 6 April: Sebuah bangunan kedai MDS Mart Tatau jenis struktur kekal dua tingkat di Pasar Tatau Baru terbakar malam tadi.
Komander Operasi, Boniface Empaya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.06 malam dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai MDS Mart Tatau jenis struktur kekal dua tingkat.
“Kebakaran melibatkan barang mentah yang berada di luar kedai dan peratus kebakaran dianggarkan 60 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba mengunakan konsep Receo, teknik offensive dan defensive, tindakan pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, dua nozel dan satu aliran salur bantu mula air daripada pili bomba.
“Kebakaran kedai 60 peratus di bahagian hadapan kedai sahaja tanpa melibatkan tingkat atas.Kebakaran tiada melibatkan mangsa.
“Punca serta jumlah kerugian akibat daripada kebakaran itu masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS