MIRI, 5 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meneruskan tradisi ziarah Syawal dengan melakukan kunjungan rasmi ke Miri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi sekali gus mencerminkan kemesraan dan keprihatinan pemimpin terhadap masyarakat setempat dalam menyambut bulan Syawal yang mulia.
Dalam kunjungan tersebut, Tun Dr Wan Junaidi beramah mesra dengan penduduk tempatan serta para pemimpin masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan silaturahim.
Kehadiran beliau disambut meriah oleh wakil rakyat, ketua-ketua masyarakat serta penduduk pelbagai kaum yang turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada beliau secara langsung.
Terdahulu, beliau turut menziarahi rumah terbuka beberapa pemimpin tempatan, antaranya Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat.
Seterusnya, beliau mengunjungi Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, sebelum meneruskan kunjungan ke kediaman Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Turut mengiringi lawatan rasmi TYT Sarawak ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting dan tetamu terhormat lain.
Selesai rangka lawatan di Miri, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri berangkat pulang ke Kuching. – TVS