SIBU, 5 April: Pembangunan ekonomi baharu yang kini giat dibangunkan di Sarawak terus mendapat perhatian di peringkat global.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau dijemput untuk berkongsi tentang perkembangan itu oleh beberapa negara luar.
“Saya telah dijemput ke Shanghai, China bagi berkongsi tentang pembangunan yang giat dilaksanakan di Sarawak.
“Selain itu, saya juga dijemput berkongsi mengenai ekonomi hidrogen di Brazil hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu pada malam Jumaat.
Abang Johari turut menjelaskan beliau turut mendapat jemputan dari Bank of America bagi berkongsi tentang pembangunan yang diberi fokus oleh Kerajaan Sarawak.
“Mereka menyediakan segala keperluan yang penting untuk memastikan saya dapat datang ke Amerika Syarikat,” ujarnya.
Tambahnya, perkembangan positif itu membuktikan komitmen Sarawak dalam membangunkan ekonomi baharu dan tenaga boleh diperbaharui mendapat kepercayaan dari negara luar. – TVS