MIRI, 5 April: Kerajaan Sarawak akan membina jalan raya yang menghubungkan Miri ke Mulu secara terus dalam tempoh dua tahun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjalanan dari Miri ke Mulu hanya akan mengambil masa satu jam setengah apabila jalan raya tersebut siap kelak.
“Tidak ada tempat lain yang ada dua tapak UNESCO di Malaysia, hanya Miri sahaja yang mempunyai satunya UNESCO tapak di Mulu dan satu lagi tapak UNESCO di Niah, maknanya Miri kiri kanan ada UNESCO.
“Disebabkan tarikan ini Kerajaan Sarawak akan membuatkan ataupun menyediakan infrastruktur jalan raya dari Miri ke Marudi, dengan jambatan yang telah siap dan kita akan bangunkan jalan baru dari Marudi terus ke Long Terawan dan ke Mulu, maknanya dua tahun lagi kita akan mempunyai jalan raya dari Miri terus ke Mulu yang memakan masa hanya satu jam setengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Pemimpin 2025 di Stadium Tertutup Miri hari ini.
Tambahnya lagi, dengan adanya pelabuhan laut dalam yang dibina di Miri ia akan meningkatkan lagi jumlah pelancong ke utara Sarawak yang datang dengan menaiki kapal persiaran.
“Insya-Allah dalam masa dua tahun ini maka siaplah pelabuhan dalam untuk kawasan utara Sarawak. Soalannya apakah implikasi kepada ekonomi di utara ini. Ini bermakna perniagaan import dan eksport daripada bahan-bahan di utara Sarawak dapat dikeluarkan melalui pelabuhan tersebut.
“Yang kedua, disebabkan pelabuhan ini adalah pelabuhan dalam sudah tentu dapat menarik kapal-kapal persiaran untuk membawa pelancong ke utara Sarawak. Yang saya sebutkan adalah cruise di mana kapal ini boleh membawa pelancong. Selalunya kapal ini membawa penumpang sekitar 2,000 hingga 3,000 orang,” ujarnya lagi.
Katanya, projek pelabuhan Miri fasa satu dijangka siap pada penghujung 2026, ia juga berpotensi untuk menjadi pelabuhan utama yang menghubungkan laluan perdagangan di utara Sarawak ke pasaran global. – TVS