KUCHING, 5 April: Polis memberkas seorang lelaki selepas menipu seorang warga emas yang mahu mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di salah sebuah bank di kawasan Stutong di sini, pada 30 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kes itu pada 2 April, seorang warga emas lelaki berusia 75 tahun mahu mengeluarkan duit di bank berkenaan pada jam 8.30 pagi didatangi
suspek yang berpura-pura membantu mengeluarkan duit dari mesin ATM.
“Setelah mangsa memasukkan kad ATM dan kata laluan, suspek didapati telah menekan jumlah duit sebanyak RM1,500 kemudian mengambil duit tersebut dan hanya menyerahkan duit sebanyak RM300 kepada mangsa sebelum melarikan diri bersama dengan duit selebihnya.
“Bertindak atas maklumat pada jam 1.55 tengah hari semalam, sepasukan polis daripada Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun iaitu suspek di dalam kes ini dan merampas beberapa barang kes di Kenyalang Park,” katanya dalam kenyataan har ini.
Katanya, hasil soal siasat awal suspek mengaku terlibat dalam kes ini, hasil semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal ke atas suspek adalah negatif dadah.
“Suspek telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 8 April 2025, soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti jika suspek terlibat dengan lain-lain kes.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” tegasnya.-TVS