KUCHING, 5 Apr: Pengaruh muzik dan lagu dalam sambutan sesuatu perayaan memainkan peranan cukup signifikan untuk menterjemahkan perasaan atau emosi yang sering dikaitkan dengan sesuatu perayaan.
Tidak terkecuali lagu raya yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya Malaysia mengiringi sambutan Aidilfitri sejak berdekad lamanya denganmembawa kegembiraan tetapi juga nilai kemanusiaan, keinsafan dan hubungan kekeluargaan.
Walau bagaimanapun, dalam era digital yang serba moden ini, timbul persoalan sama ada lagu raya tradisional masih relevan atau perlu beredar mengikut trend dan halwa telinga yang semakin berubah.
Penasihat Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah berkata, lagu raya adalah lebih daripada sekadar hiburan.
“Perkara pertama ialah mengenai kesyukuran kepada Ilahi, mengambil kira bahawa manusia dicipta oleh Tuhan untuk dua tujuan. Pertama, sebagai hamba abdi-Nya iaitu pengabadian total kepada Allah SWT. Kedua, sebagai khalifah untuk menjaga bumi Allah.
“Oleh itu, lagu tersebut digunakan untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu di samping bertujuan menanam rasa keinsanan bukan sahaja kepada diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada sahabat handai,” katanya kepada TVS ketika ditemu bual di kediamannya di sini pada Isnin.

Datu Dr Adi turut memberikan contoh lirik Suara Takbir karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mengandungi dua elemen penting seperti lirik ‘Dengar beduk berbunyi, sayup bergema di subuh sunyi’ menggambarkan panggilan beribadah kepada Tuhan manakala lirik ‘Memanggil kepada muslimin, segera berbakti kepada Ilahi’ pula mencerminkan hubungan manusia dengan Tuhan.
Tambahnya, keseluruhan lagu tersebut juga mencipta perasaan nostalgia dan sentimental, menggambarkan ikatan persaudaraan serta hubungan sesama manusia.
Menurutnya, lagu tersebut sekali gus menegaskan ia mencerminkan nilai budaya dan agama yang mendalam.
“Ia menjadi wadah untuk menzahirkan kesyukuran kepada Ilahi serta mengukuhkan ikatan sesama manusia,” ujarnya.
Enggan menggunakan peredaran zaman sebagai alasan untuk melupakan sentuhan emosi lagu lama, beliau memilih untuk melihat perkembangan teknologi sebagai satu kelebihan dalam memastikan kelangsungan warisan muzik lama.
“Kekuatan hubungan itu dapat kita lihat bagaimana dalam era digital ini, segala kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan pelbagai aplikasi yang ada dimanfaatkan secara baik. Pertama, teknologi digunakan untuk memperkenalkan lagu itu dalam bentuk aslinya dengan tujuan untuk memelihara (preservation) lagu tersebut dalam bentuk asalnya.
“Ini adalah satu komponen yang penting. Kedua, teknologi dan aplikasi baharu digunakan untuk menyebarluaskan lagu tersebut dengan cepat dan meluas,” jelasnya.
Beliau kekal meluahkan keyakinan dunia kini dikuasai pengaruh muzik moden, elemen nostalgia dan nilai sentimental yang memberikan jiwa kepada lagu lama tetapi mampu menarik perhatian generasi muda.
“Teknologi digital juga memainkan peranan penting dalam memastikan lagu-lagu ini terus didengar dan dihargai, walaupun dalam format dan gaya penyampaian yang lebih segar,” kata Adi.
Bagaimanapun, beliau menekankan perlunya keseimbangan antara pembaharuan dengan pemeliharaan nilai asal lagu raya. – TVS