KUCHING, 5 Apr: Lagu klasik Melayu terutama yang dicipta legenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma sudah lama menjadi penghubung antara generasi dengan budaya termasuk lagu raya.
Meskipun zaman beredar pantas, bibit-bibit lirik dan melodi lagu ini terus hidup menjadi halwa telinga masyarakat sehingga kini.
Penasihat Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah mengakui adanya jurang antara apa yang di gemari generasi terdahulu berbanding sekarang.
Sehubungan itu beliau akur sekiranya generasi baharu sekarang menggunakan inisiatif sendiri untuk menyegarkan kembali lagu lama melalui penggunaan teknologi terkini dan memberikan nafas baharu kepada karya lama tanpa mengorbankan jiwa dan rasa lagu tersebut.
“Saya melihat anak muda pada zaman teknologi moden ini, mereka menggunakan lirik-lirik tersebut tetapi dengan memberikan nafas baru. Melodinya mungkin diubah sedikit namun jiwa asalnya tetap kekal dipelihara.
“Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sangat menarik untuk kita imbau kembali sumbangan mereka yang lama meninggalkan kita tetapi mewarisi khazanah seni yang amat berharga,” katanya ketika ditemu bual TVS di kediamannya pada Isnin lalu.
Ujarnya, khazanah tersebut perlu diwariskan kepada generasi akan datang, mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza.
Ditemui TVS pada Khamis lalu, Penyanyi dan penulis lirik lagu Nostalgia Raya TVS, Alia Tenor, lagu Nostalgia Raya TVS bukan sahaja membawa semangat raya yang penuh dengan elemen tradisional tetapi turut menyuntik elemen moden yang mesra dengan generasi muda masa kini.

“Saya ingin memastikan orang tidak melupakan adat dan tradisi yang ada di Sarawak terutamanya bagaimana perayaan di Sarawak dirayakan seperti sepanjang sebulan sempena Raya dengan adanya kuih-muih tradisional.
“Sehingga kini, amalan ini masih diteruskan. Bagi generasi baharu terutama generasi Z, adalah penting untuk mereka mengenali dan memahami bagaimana adat beraya di Sarawak dilaksanakan,” ujarnya.
Kata Alia, bagi memastikan lagu tersebut dapat mengekalkan warisan, pihaknya menghasilkan Nostalgia Raya TVS sebagai lagu yang catchy dan diterima oleh semua peringkat usia dan bangsa.
Revon Jeremiah Penggubah Lagu Nostalgia Raya TVS ketika ditemui pada hari yang sama menjelaskan bagaimana mereka menggabungkan elemen klasik dan moden dalam lagu tersebut menerusi elemen bermukun yang unik di Sarawak.
“Untuk membezakan lagu ini daripada lagu-lagu lain, elemen bermukun adalah aspek yang unik kerana di Sarawak, lagu bermukun memang sangat khas dan berbeza daripada negeri-negeri lain. Bagi menyeimbangkan lagu ini, ia tidak sepenuhnya moden atau tradisional.
“Sebaliknya, lagu ini lebih cenderung kepada gaya moden, bermula dengan elemen tradisional diikuti elemen moden kemudian kembali kepada bermukun tradisional dan diakhiri dengan elemen moden,” jelasnya.
Menurut Penerbit Lagu Nostalgia Raya TVS, Fattah Bolh, keputusan menggabungkan elemen klasik dan moden dalam Nostalgia Raya TVS datang daripada keinginan untuk menghormati tradisi sambil memastikan lagu tersebut tetap relevan dengan perkembangan zaman.
“Saya rasa ini adalah masa tepat untuk kita mengangkat semula elemen tradisional sambil tetap menyelaraskannya dengan lagu-lagu yang sedia ada pada zaman sekarang.
“Saya percaya tema untuk tahun ini oleh TVS selaras dengan tema lagu raya kerana kebanyakan lagu raya yang dikeluarkan oleh penyanyi terkenal seperti Siti Nurhaliza Aisha Retno dan juga artis lain menggabungkan elemen tradisional dalam lagu mereka dicampur dengan elemen kontemporari,” katanya.
Tambah Fattah, Nostalgia Raya TVS menjadikan lagu raya yang berada pada landasan tepat untuk tahun ini dan sesuai dengan tema ditetapkan.-TVS