KUCHING, 5 Apr: Jambatan Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak dijangka siap mengikut jadual ditetapkan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, setakat ini kemajuan projek itu adalah 70 peratus dan akan siap pada hujung tahun ini.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana menyalurkan banyak projek mega di kawasan Demak Laut terutama sekali Jambatan Sejingkat-Tanjong Bako yang hampir siap pada bulan Disember tahun ini.
“Kemajuan projek setakat ini adalah 60 hingga 70 peratus siap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini, hari ini.
Dengan siapnya jambatan itu kelak katanya, ia akan dapat memendekkan tempoh perjalanan dari Samarahan ke Kuching.
Jambatan sepanjang 1.28 kilometer dengan tinggi 26 meter dari paras sungai itu menelan kos sebanyak lebih RM360 juta.
Selain itu katanya, terdapat empat projek Perumahan Mampu Milik untuk rakyat di kawasannya kini sedang dilaksanakan dan berjalan lancar. – TVS