LAWAS, 5 April: Projek pembinaan bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Ba’Kelalan yang sudah siap dibina dijangka akan beroperasi tahun ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, projek itu amat penting untuk memberi kemudahan keluar dan masuk bagi pelawat di sempadan Malaysia dan Indonesia.
Kata beliau, projek itu juga mempunyai kemudahan lengkap dengan menempatkan pejabat Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis dan pusat kuarantin dan Jabatan Veterinar.
“Mengenai projek CIQ di Ba’Kelalan, bangunannya sudahpun siap, cuma sekarang menunggu perasmian dari pihak berwajib, saya sudah maklumkan di Kuala Lumpur, supaya bangunan itu cepat digunakan.
“Bangunan itu sudahpun siap dan apabila beroperasi kelak, kita berharap ia akan memberi kemudahan kepada pelawat-pelawat keluar dan masuk ke sempadan Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sebuah hotel terkemuka di Lawas hari ini.
Jelasnya lagi, perkhidmatan itu amat penting dan projek ini dapat memudahkan urusan perjalanan keluar masuk sempadan Malaysia-Indonesia.-TVS