KUCHING, 5 April: Majlis Islam Sarawak (MIS) tidak membenarkan mana-mana ajaran atau kepercayaan memesongkan akidah bagi penganut beragama Islam di wilayah ini.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, MIS tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan atau individu yang didapati mengamalkan ajaran bertentangan dengan al-Quran dan Al-Sunnah serta bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Saya sudah memaklumkan bahawa kita di Sarawak mempunyai jawatankuasa khas yang memantau apa jua ajaran sesat oleh mana-mana pihak dan pemantauan ini amat ketat.
“Kita juga tidak akan memberi peluang kepada mana-mana ajaran sesat ini untuk bertapak di negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu amalan ajaran sesat yang kian berleluasa di negara ini pada program Rumah Terbuka Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak di Kuching pada Sabtu.
Pada majlis itu, Misnu turut menyantuni lebih 500 tetamu yang berkunjung ke program rumah terbuka anjurannya di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, hari ini.
Penganjuran rumah terbuka itu katanya mempunyai pengertian tersendiri terutama untuk meraikan kemenangan umat Islam dalam mendidik jiwa, rohani serta menahan nafsu lapar dan dahaga selama sebulan ketika Ramadan.
“Ini merupakan satu kesempatan untuk semua umat Islam melayani bahkan bukan hanya orang Islam tetapi masyarakat bukan Islam juga khasnya di Sarawak dan di Malaysia ini. Ini juga merupakan satu pendekatan yang dapat merapatkan silaturahim antara kita,” ujarnya.
Beliau berkata, program rumah terbuka tersebut turut dilihat sebagai satu platform mengeratkan ukhuwah antara umat Islam serta mengukuhkan perpaduan masyrakat pelbagai kaum dan agama yang turut sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.-TVS