SUBANG JAYA, 5 April: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat tapak insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.
Baginda yang tiba pada jam 9:40 pagi di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sejurus tiba, baginda telah diberi taklimat mengenai insiden berkenaan, sebelum berangkat meninjau kawasan kejadian menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Kehadiran baginda menceriakan sebahagian kecil penduduk terjejas yang menanti ketibaan baginda sejak jam 8 pagi.
Turut mengiringi lawatan Seri Paduka Baginda ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Seri Paduka Baginda meluangkan masa sekitar 40 minit melawat lokasi kejadian dengan kawalan ketat pihak polis.
Usai itu, baginda yang menaiki kereta jenis Proton Satria Neo berwarna ungu berangkat ke Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights bagi menyerahkan sumbangan kepada Ketua Isi Rumah (KIR).
Di lokasi yang sama, Seri Paduka Baginda turut menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Sejumlah sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor telah disampaikan oleh baginda kepada mangsa yang terjejas.
Setakat jam 10 pagi Sabtu, seramai 380 mangsa daripada 99 keluarga dilaporkan masih ditempatkan di PPS itu, yang dibuka sejak Selasa lalu.
Insiden yang menggemparkan negara itu telah mengakibatkan 111 mangsa cedera, dengan kebanyakannya mengalami kesan lecuran dan masalah pernafasan.
Kejadian itu turut memusnahkan 225 kenderaan serta merosakkan 174 lagi. – TVS