BETONG, 5 April: Tujuh penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Tengah Kalok, Pusa terbakar pagi tadi.
Komander Operasi, Jusmandie Jamaie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.08 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat telah terbakar keseluruhan.
“Anggota bomba menjalankan operasi membuat kerja-kerja overhaul dengan membentang 400 kaki hos hantar dua pancut pam angkut dan sumber air terbuka dari sungai berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran tidak meilbatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Setelah selesai membuat operasi pemadaman dan memastikan tiada lagi punca api dan keadaan selamat pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS