MIRI, 3 April: Bengkel coding Impact Appathon melabuhkan tirainya hari ini dengan kejayaan pelancaran Zero Strays Miri yang merupakan aplikasi mudah alih yang direka khas bagi memudahkan pengambilan haiwan terbiar.
Aplikasi yang kini boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store menjadi platform inovatif untuk menghubungkan bakal pemilik dengan haiwan yang memerlukan perlindungan.
Bengkel tersebut memperkenalkan peserta kepada konsep asas pengkodan, reka bentuk antara muka pengguna (UI) dan pembangunan aplikasi.
Dalam sesi pertama pada Jun 2023, peserta bersaing dalam pasukan untuk membentangkan idea aplikasi inovatif.
Tiga pasukan terbaik kemudiannya mara ke sesi lanjutan pada Ogos 2024 yang mana mereka mendapat bimbingan daripada pakar industri dan mempelajari teknologi yang lebih kompleks.
Aplikasi Zero Strays Miri membolehkan pengguna melihat profil haiwan yang tersedia untuk diambil, mendapatkan maklumat penjagaan dan menghubungi organisasi untuk melengkapkan proses pengambilan.
Platform tersebut memudahkan pencinta haiwan mencari haiwan peliharaan yang sesuai sambil meningkatkan kadar pengambilan haiwan terbiar di kawasan ini.
Selain Zero Strays Miri, bengkel tersebut turut memberi manfaat kepada beberapa organisasi komuniti lain seperti Sarawak Society for the Blind, Empalai Kitai Community Farm, dan Methodist Children’s Home.
Melalui bimbingan berstruktur, pelajar menggunakan teknologi untuk mencipta penyelesaian digital yang membantu organisasi ini beroperasi dengan lebih berkesan.
Dengan pelancaran rasmi aplikasi Zero Strays Miri, Impact Appathon membuktikan bimbingan berstruktur mampu melahirkan penyelesaian dunia sebenar.
Kejayaan tersebut diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan organisasi untuk meneroka teknologi sebagai alat untuk perubahan sosial.-TVS