KUCHING, 3 April: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa langkah keselamatan terhadap infrastruktur gas di wilayah ini dirancang dengan teliti bagi mengelak insiden seperti kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, pelan tersebur merangkumi pembangunan koridor gas khas yang akan digazetkan sebagai kawasan keselamatan bagi memastikan keselamatan sistem gas.
“Kita mempunyai perancangan melalui Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (Sarawak Gas Roadmap) termasuk mewujudkan Dedicated Corridor yang akan digazetkan.
“Data berkaitan koridor ini disimpan dengan rapi dan kawasan tersebut dikawal sebagai zon keselamatan bagi memastikan tiada aktiviti luar yang boleh mengganggu atau menjejaskan keselamatan infrastruktur gas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 N6 Tupong anjuran Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman di Dewan HIKMAH, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menjelaskan kepentingan mewujudkan kawasan penampan buffer zone yang luas bagi memastikan tiada pembinaan perumahan atau kemudahan awam berhampiran infrastruktur gas.
“Dengan adanya kawasan buffer ini, sebarang insiden dapat dikesan lebih awal dan kita boleh bertindak dengan lebih pantas,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan gas yang disalurkan ke kawasan kediaman di Sarawak adalah gas bertekanan rendah yang jauh lebih selamat berbanding gas bertekanan tinggi yang sering digunakan dalam industri berat.
“Gas yang digunakan dalam saluran paip di kawasan-kawasan perumahan adalah gas bertekanan rendah, ia tidak berbahaya.
“Ini mengurangkan kemungkinan berlakunya letupan besar sekiranya berlaku kebocoran,” jelasnya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak yakin dengan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap, infrastruktur gas di Sarawak dapat dikendalikan dengan lebih selamat dan berkesan sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat serta perkembangan sektor tenaga mampan. – TVS