KUCHING, 3 April: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM18,000 atau penjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki 15 liter air ketum dan 8.9 kilogram daun ketum di rumahnya dengan tujuan untuk dijual kepada pelanggan, Januari lalu.
Memetik laporan Suara Sarawak, Tertuduh yang berusia 45 tahun dari Kampung Tengah, Gedong itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki 15 liter cecair dan 8.9 kilogram daun Mitragynine di sebuah rumah di Kampung Darul Iman, Tebedu, sekitar 4.30 petang, 22 Januari lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama dengan memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pegawai polis bersama pasukannya menahan seorang lelaki di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Darul Iman kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan racun.
Barang-barang milik tertuduh turut dirampas seperti 10 botol plastik lut sinar dengan isipadu 1.5 liter, masing-masing berisi cecair berwarna hijau dipercayai air ketum.
Selain itu, dua bakul yang dipenuhi daun ketum turut dirampas dipercayai seberat 8.9 kilogram.
Hasil siasatan dan laporan daripada Jabatan Kimia mengesahkan barang kes terbabit merupakan racun yang tersenarai dalam jadual pertama dan jadual ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.
Isteri tertuduh juga mengaku barang-barang kes yang dijumpai di rumah mereka untuk dijual kepada pelanggan.-TVS