KUALA LUMPUR, 3 April: Kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan tarif timbal balas kepada Amerika Syarikat (AS), meskipun negara dikenakan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus ke atas import Malaysia yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump lewat pagi tadi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan memandang serius tarif 24 peratus itu, namun melontarkan keyakinan bahawa ekonomi negara akan kekal berdaya tahan, dengan permintaan dalam negeri sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
“MITI memandang serius perkara ini dan sedang berhubung secara aktif dengan pihak berkuasa AS untuk mencari penyelesaian yang dapat mengekalkan semangat perdagangan bebas dan adil.
“Dalam mengekalkan semangat ini, Malaysia tidak mempertimbangkan untuk mengenakan tarif balas meskipun tarif AS memberi kesan kepada banyak negara dengan implikasi yang berpotensi besar terhadap perdagangan dan pertumbuhan global,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MITI berkata kerajaan akan memanfaatkan perjanjian rangka kerja perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan AS untuk mendapatkan keuntungan perdagangan timbal balik sambil meneruskan perjanjian perlindungan teknologi dengan Washington.
Hal ini, kata kementerian itu, bertujuan untuk membolehkan kerjasama teknologi tinggi antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang semikonduktor, aeroangkasa, dan ekonomi digital.
“Walaupun defisit perdagangan dalam barangan, AS menikmati lebihan perdagangan dalam perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh.
“Perlu ditegaskan bahawa defisit perdagangan dengan AS juga disebabkan oleh banyak firma AS yang telah beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad, disebabkan oleh ekosistem perindustrian Malaysia yang mantap, terutamanya dalam sektor E&E,” katanya.
Kenyataan itu menambah, dalam usaha mengurangkan kesan tarif yang dikenakan ke atas negara, kerajaan akan mengembangkan pasaran eksportnya melalui perjanjian perdagangan bebas sedia ada, dengan keutamaan di kawasan pertumbuhan tinggi. – TVS