KUCHING, 3 Apr: Kuching City FC (KCFC) dalam perbincangan untuk menandatangani tiga pemain baharu bagi menghadapi saingan liga Malaysia musim depan.
Pengerusinya, Dato Fazzrudin Abdul Rahman bagaimanapun tidak mendedahkan identiti ketiga-tiga pemain tersebut.
“Setakat ini, kami telah mengenal pasti tiga pemain baharu yang akan dibawa masuk. Kami tidak mahu merombak pasukan secara besar-besaran tetapi mahu memastikan pasukan terus berkembang dengan kemasukan pemain yang tepat.
“Selepas perbincangan dimuktamadkan, identiti pemain baharu ini akan diumumkan,” katanya,
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 N6 Tupong di Dewan HIKMAH, di sini hari ini
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut memaklumkan berita gembira yang mana ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kekal bersama kelab dan memberi cadangan nama pemain baharu yang ingin dibawa masuk.
“Kita akan mengumumkan beberapa kejutan dalam masa terdekat termasuk usaha membawa pulang anak jati Sarawak yang cemerlang bagi memperkuat pasukan,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, pada masa ini KCFC sedang memberi tumpuan kepada baki dua perlawanan musim ini.
“Fokus utama ketika ini adalah untuk mengutip mata sebanyak mungkin sebelum menamatkan saingan musim ini.
“Kita masih mempunyai dua perlawanan lagi sebelum menamatkan musim ini. Fokusnya adalah untuk memastikan kita mengutip mata daripada kedua-dua perlawanan.
“Kita tidak boleh hanya mengharapkan pasukan lain terjatuh sebaliknya perlu bergantung pada kekuatan sendiri,” jelasnya.
Malah Fazzrudin berkata, KCFC kini juga berdepan saingan sengit untuk menduduki tempat ketiga dari Sabah FC dan Terengganu FC.
“Tempat ketiga dalam liga sudah dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan untuk kelab,” tambahnya.-TVS