SUBANG JAYA, 3 April: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan berita palsu atau maklumat tidak tepat mengenai insiden kebakaran gas di Putra Heights pada Selasa.
Menurut beliau, tindakan itu boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat, dengan menegaskan bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja mengambil kesempatan dalam isu tersebut.
“KDN dan pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau insiden ini.
“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada terhadap sesiapa yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, sebanyak 108 laporan polis telah diterima daripada mangsa yang terjejas susulan insiden kebakaran gas di Putra Heights pada Selasa.
“Pelbagai laporan diterima pihak polis, tetapi kebanyakannya mengenai kerosakan. Mungkin mereka (mangsa) mahu membuat tuntutan insurans.
“Kita (KDN) menjangka jumlah laporan ini akan bertambah,” ujarnya.
Beliau menambah, KDN telah menyediakan kaunter bergerak daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan mangsa mencetak semula sijil kelahiran atau kad pengenalan.
Jelasnya, setakat hari ini, 19 MyKad gantian dan empat sijil kelahiran telah dikeluarkan oleh kaunter JPN bergerak. – TVS