KUCHING, 3 April: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai satu pencapaian penting bagi rakyat Sarawak khususnya belia.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan inisiatif tersebut tidak akan meliputi semua kursus sebaliknya akan memfokuskan kepada bidang tertentu.
Menurutnya, ini adalah langkah pertama yang penting dalam membangunkan Sarawak melalui pendidikan.
“Kita perlu menghargai usaha yang dilakukan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan pendidikan tinggi percuma sesuatu yang sebelum ini tidak disangka mampu dicapai sebelum ini.
“Saya pernah membaca komen-komen yang bertanya kenapa tidak diberi kepada semua kursus untuk pendidikan percuma. Tidak mengapa, ini baru sahaja langkah pertama dan kita perlu menghargai sokongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 N6 Tupong di Dewan HIKMAH, di sini hari ini.
Pada masa sama, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut menghargai peranan Yayasan Sarawak dalam membantu pelajar negeri ini melanjutkan pelajaran mereka.
Menurutnya, pada tahun lepas sahaja, Yayasan Sarawak telah melupuskan pinjaman pendidikan bernilai sekitar RM7 juta hingga RM8 juta bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Pelupusan ini diberikan berdasarkan beberapa faktor, termasuk pencapaian akademik cemerlang, rayuan khas daripada pelajar serta secara automatik bagi pelajar yang meninggal dunia.
“Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah banyak membantu anak-anak negeri ini mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi, memastikan mereka tidak terbeban dengan hutang selepas menamatkan pengajian,” ujarnya.
Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma dijangka memberi impak besar kepada pembangunan modal insan di Sarawak dan seterusnya meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi anak tempatan. – TVS