Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keadaan terkini di lokasi kebakaran kesan daripada kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang berlaku semalam, ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

Tiada kandungan gas dikesan, tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran – Polis

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 April: Kerja pemulihan di kawasan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya setakat ini adalah selamat susulan tiada lagi kandungan gas dikesan dalam saluran paip berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat.

Beliau berkata pihak PETRONAS telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati saluran paip tersebut tidak mengandungi gas.

“Pihak PETRONAS masih lagi memantau kandungan gas dalam saluran tersebut dan setakat ini, kandungan gas di dalam saluran paip didapati telah kosong.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca berlakunya letusan saluran tersebut serta meliputi integriti paip itu sendiri,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa akan menilai integriti dua lagi saluran paip sama ada masih baik atau sebaliknya bermula esok.

Sementara itu, Wan Azlan mengesahkan tiada mayat dijumpai di lokasi kebakaran selepas Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi pencarian secara menyeluruh sejak insiden berlaku pagi semalam.

“Kita risau jika ada saudara-mara kepada penghuni yang tertinggal atau tidak dapat keluar dari kawasan ini.

“Namun, Alhamdulillah, hasil pengesanan adalah negatif, maknanya tiada mayat dijumpai dan pasukan forensik telah mengambil sampel tanah di lokasi bagi menjalankan kajian lanjut,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, mengesahkan secara keseluruhan 237 rumah terjejas dalam kebakaran pada 8.10 pagi semalam.

Jumlah mangsa yang terlibat adalah 305 orang, dengan kebanyakannya cedera akibat melecur serta tersedut haba panas.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan