KUCHING, 2 April: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok sentiasa dekat di hati Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg acap kali perayaan Hari Raya Aidilfitri menjelma.
Perkara ini jelas dilihat apabila Abang Johari tidak melepaskan peluang untuk meneruskan aktiviti ngabang Hari Raya (syawal ketiga) ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Satok anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki di Hikmah Exchange Convention Centre (HEEC) pada sebelah petang tadi.
Difahamkan, majlis ini berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 4 petang (Rabu) dihadiri lebih 4,000 pengunjung tempatan dari kawasan DUN Satok dan Kuching.
Abang Johari yang merupakan bekas ADUN Satok itu turut beramah mesra dan bergambar bersama tetamu-tetamu yang hadir di dalam majlis tersebut.
Antara tetamu-tetamu kehormat yang turut mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dan Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman.
Sebelum ke HEEC, Abang Johari turut berkesempatan menghadari Majlis Shell Raya Bergaya 2025 di hotel Hilton.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.
Terdahulu, Abang Johari memulakan kunjungan ke rumah terbuka anjuran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pagi tadi sempena Syawal ketiga hari ini.
Ketibaan beliau di CIDB Convention Centre, Petra Jaya pada 10 pagi itu turut diiringi isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. – TVS